Bayi Asyik Menangis? Kenali 6 Tanda Bayi Hendak Menyusu
Mohd Salfizam Salamun
Sahabat Bisnes Dari Rumah
22 Januari 2019
Bagi yang baharu bergelar ibu, tentu masih belum mahir memahami tanda-tanda bayi hendak menyusu. Adakah bila anak sudah menangis baru hendak disusukan atau susukan sahaja walaupun dia belum menangis? Mana satu tanda yang betul?
Kadang kala sampai merajuk si comel sebab ibu lambat sangat bagi susu. Bila bayi sudah 'melalak' kuat-kuat, ibu pun mulalah panik dan stres. Bila ibu stres, susu pun lambat keluar dan lagi kuatlah anak mengamuk.
Nampak tak kaitan tersebut? Jadi, pentingnya untuk ibu memahami tanda bayi hendak menyusu terutama dalam kalangan ibu baharu yang dalam tempoh berpantang. Bila ibu tahu tanda tersebut, tak perlu tunggu sehingga anak menangis dan mengamuk baru hendak disusukan.
Ini kerana biasanya orang sekeliling yang tidak faham tentang penyusuan susu ibu akan memberi tekanan kepada ibu dengan memberitahu susu ibu tidak cukup untuk anak sebab itu anak menangis walaupun sudah disusukan.
Hakikatnya si kecil merajuk dan mengamuk sebab ibu lambat menyusukannya dan bukan sebab dia kurang susu!
Jadi, fahami betul-betul tanda berikut supaya anda menjadi ibu yang lebih cekap dan memahami keinginan si comel.
1. Bebola mata bergerak-gerak.
# Apabila si comel mula menggerak-gerakkan bebola matanya ke kiri dan ke kanan, cepatlah bertindak.
2. Mulut terbuka dan mencari sesuatu.
# Alahai memang comel tengok aksi ini tapi itu petanda dia hendak menyusu.
3. Merengek manja.
# Suara manja yang ingin memberitahu ibu dia sedang lapar!
4. Menghisap jari, tangan, sarung tangan atau apa sahaja.
# Kalau anda melihat aksi si comel menghisap jari, tangan atau sarung tangan atau apa sahaja yang boleh disumbat dalam mulut memang 'confirm' dia kelaparan.
5. Menangis dengan kuat.
# Kalau bayi mula menangis dengan kuat secara tiba-tiba, ia adalah tanda dia betul-betul hendak susu.
6. Bayi mula merajuk.
# Tanda akhir ini sudah tentu akan membuatkan ibu menggelabah kerana akhirnya bayi mula merajuk dan susah untuk dilekapkan pada payudara ibu.
Jadi, sebaiknya ibu perlu elakkan bayi daripada menunjukkan tanda paling kritikal ini kerana penyusuan akan menjadi sukar. Cepat susukan anak sebelum dia merajuk dan mengamuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan